Kuantan: Pasukan Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS) yang mewakili negara pada International Environmental Project Olympiad (INEPO) di Istanbul, Turki, minggu lalu berjaya membawa pulang dua pingat emas daripada pertandingan.
Kejayaan itu diperoleh menerusi projek kertas yang dihasilkan daripada sisa buangan tumbuh-tumbuhan yang dikenali sebagai ‘Saccharum Officinarum’ dan kepingan simen daripada sisa tandan sawit.
Guru penasihat Mohd Fakharudin Mahmod berkata, empat pelajar tingkatan lima yang menyertai pertandingan itu, Nurin Umirah Ahmad Rosli, Latifah Izzati Azhari, Anis Amsyar Badrol Hisyam dan Nurul Aina Hayati Mohd Shahir.
Menurutnya, kumpulan pelajar terbabit mengambil masa kira-kira dua bulan untuk menghasilkan projek berkenaan yang murah dan menjimatkan selain dapat menjaga alam sekitar apabila bahan utamanya terdiri daripada bahan buangan tumbuh-tumbuhan.
Katanya, kejayaan itu begitu membanggakan bukan saja untuk sekolah tetapi lebih penting imej negara yang cemerlang dalam kalangan 50 negara membabitkan 122 pasukan yang bertanding.
“Kerjasama mantap pelajar dan guru turut menjadi faktor utama kejayaan ini apabila kami mengadakan persiapan secara berpasukan di peringkat awal hingga akhir,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25 - MyMetro